Thursday, December 31, 2009

PETUNJUK PRESTASI UTAMA ( KPI )

RINGKASAN KHUTBAH JUMAAT 15 MUHARAM 1431 / 1 JANUARI 2010

Kita baru saja menyambut Maal Hijrah iaitu tahun baru Islam 1431 dan hari ini pula kita mulai menempuh tahun baru 2010 masihi. Bagi menentukan pertunjuk dan perlaksanaan aktiviti tahun baru kita diredhai Allah, maka marilah kita bersama-sama meningkatkan ketaqwaan kepada Allah dengan menunaikan segala perintahnya dan menjauhi segala larangannya. Mudah-mudahan kehidupan kita dilimpahi rahmat dan kesejahteraan. Mimbar hari ini akan membincangkan khutbah bertajuk " Petunjuk Prestasi Utama ( KPI ) Ibu-bapa Mendidik Anak-anak ".
Pada akhir dan awal tahun kebiasaannya pihak sekolah dan ibu-bapa menjadi pihak yang paling sibuk kerana terlibat dalam urusan pendidikan. Menurut sumber Kementerian Pelajaran Malaysia, pada tahun 2009 terdapat 5.4 juta orang pelajar di sekolah menengah dan rendah. Sementara itu pula, menurut sumber Kementeria Pengajian Tinggi pada sesi 2009/2010 yang lalu sebanyak 139,209 orang membuat permohonan untuk memasuki inatitusi pengajian tinggi negara.
Sebagaimana yang kita ketahui bahawa matlamat pengurusan pendidikan adalah untuk melihat manusia sebagai modal yang dinamakan dan merupakan aset tenaga yang sungguh penting dan bermakna kepada kegiatan ekonomi, pembangunan negara mahupun kemajuan bangsa dan negara. Modal ini perlu digilap, dibangunkan dan diuji bagi menentukan kemampuan sebelum di manafaatkan. Kualiti hidup tidak diukur dengan ijazah yang dimiliki sahaja malahan kekuatan akhlak dan peribadi yang menampilkan nilai kemanusiaan yang tinggi.
Dalam usaha membentuk modal insan yang berkualiti, maka kecemerlangan bidang pendidikan tidak hanya diberikan kepada pihak sekolah bahkan bergantung kepada ibu-bapa di rumah. Kedua-dua institusi ini iaitu rumah tangga dan sekolah saling memerlukan dalam menentukan kecemerlangan anak-anak.
Keluarga adalah asas menentukan dasar pembinaan akhlak anak-anak. Bila tumpuan ibu-bapa terhadap keluarga berkurangan, maka kadar keciciran anak-anak semakin meningkat. Jika ibu-bapa tidak mengambil berat, maka anak-anak akan terdedah dengan gejala rosak akidah serta hilang kemuliaan akhlak dan maruah diri.
Pencapaian prestasi anak-anak kita dalam pelajaran bergantung kepada perancangan dan penilaian bersungguh-sungguh ibu-bapa sendiri. Dalam menjamin keberkesanan fungsi ibu-bapa menentukan kejayaan pendidikan anak-anak, maka ibu-bapa perlu sekurang-kurangnya menetapkan 6 Petunjuk Prestasi Utama ( KPI ) iaitu :
1. Memastikan anak-anak menunaikan solat fardhu 5 kali sehari.
2. Memastikan anak-anak mempelajari dan membaca Al-quran setiap hari.
3. Memastikan anak-anak mendapat makanan halal,berzat dan memenuhi keperluan rohani.
4. Menyemak buku-buku latihan dan kerja setiap mata pelajaran sekurang-kurangnya sekali seminggu.
5. Menetapkan sasaran setiap mata pelajaran anak-anak sekurang-kurangnya mencapai 80 %
6. Mengadakan perjumpaan dengan guru-guru sekurang-kurangannya sekali dalam sepenggal untuk mendapat maklum balas prestasi pembelajaran anak-anak.

Tuesday, December 29, 2009

PENDAFTARAN TAHUN 1 DAN PRASEKOLAH 2010



SK TELUK MEDAN 30 Disember 2009,
Seramai 63 orang murid Tahun 1 dan 70 orang murid Prasekolah hadir bersama ibu-bapa mereka untuk mendaftar bagi sesi persekolahan 2010. Sesi pendaftaran bemula jam 8.00 pagi bertempat di bilik kelas dan kantin sekolah. Satu sesi taklimat dan dialog ibu-bapa murid-murid Tahun 1 dan Prasekolah SKTM dengan guru besar berlangsung mulai jam 9.00 pagi. Di dalam majlis tersebut, guru besar menerangkan beberapa perkara berhubung dengan dasar Kementerian Pelajaran Malaysia serta misi dan visi sekolah. Beliau turut meleraikan beberapa permasalahan yang menjadi isu kepada ibu-bapa murid SKTM. Semasa majlis pendaftaran tersebut, murid-murid yang bakal menduduki Tahun 1 pada tahun hadapan juga diberikan ujian ringkas ( diagnostik ) bagi mengenalpasti tahap pencapaian dan pengetahuan murid-murid sebagai rujukan guru-guru Tahun 1 pada tahun hadapan.

Yuran sekolah boleh dijelaskan sehingga akhir tahun

KUALA LUMPUR 27 Dis. - Ibu bapa dibenarkan menjelaskan yuran sekolah dan bayaran tambahan yang ditetapkan Kementerian Pelajaran serta Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bermula sesi persekolahan depan sehingga akhir 2010. Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, bayaran secara ansuran itu diharap meringankan beban ibu bapa terutama golongan berpendapatan rendah serta mereka yang mempunyai ramai anak sedang bersekolah. Tahun lalu jelasnya, ibu bapa serta penjaga diminta menjelaskan kesemua yuran persekolahan murid-murid pada bulan Jun.

''Dengan penambahan masa dan pembayaran secara berperingkat, Kementerian Pelajaran berharap ia dapat meringankan beban ibu bapa serta penjaga. ''Cuma saya harap, ibu bapa tidak terlalu berkira mengenai persekolahan anak-anak,'' katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Kementerian sebelum ini menetapkan yuran sekolah rendah pada kadar RM24.50 dan RM33.50 bagi sekolah menengah. Ia merangkumi bayaran untuk kurikulum, kertas ujian dalaman, sukan tahunan, kegiatan Pendidikan Islam serta Moral, Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (MSSM) dan insurans Takaful.

Pada 2 Disember lalu pula, kementerian mengumumkan akan mengenakan bayaran tambahan kepada ibu bapa bermula sesi persekolahan depan bagi manfaat para pelajar. Alimuddin menjelaskan, ibu bapa dibenar membuat pembayaran sehingga akhir tahun depan kerana tidak semua aktiviti pelajar berlangsung pada awal atau pertengahan tahun. ''Arahan ini telah disampaikan kepada semua Pengarah Pelajaran Negeri. Saya harap semua sekolah maklum dan tidak ada (sekolah) yang mengasak ibu bapa untuk menjelaskannya segera,'' tegasnya

Monday, December 28, 2009

AHLAN WA SAHLAN

Wajah SKTM lebih berseri menjelang sesi persekolahan 2010 yang akan bermula mulai minggu hadapan. SKTM telah menerima peruntukan untuk mengecat kembali bangunan-bangunan sekolah dan proses mengecat semula itu sudahpun bermula dan di peringkat akhir. Keserian SKTM ditambah lagi dengan kehadiran 3 warganya yang baharu iaitu :

1. Puan Pearinbanayaki a/p Sivalingam ( BI ).
2. Cik Nur Syazana bt. Mohd.Kamaruddin ( PAI ).
3. Cik Maznah bt Mokhtar ( N17 )

Ahlan wa sahlan. Selamat menjadi warga SKTM kini dan selamanya...

MISI SKTM 2010


SKTM 28 Disember 2009.
Setelah lebih sebulan terpisah, hari ini seluruh warga pendidik SKTM kembali bertemu bagi membincangkan misi dan visi SKTM bagi sesi persekolahan 2010 yang akan bermula minggu hadapan. Perjumpaan dimulakan dengan Mesyuarat Guru Kali Pertama 2010 yang bermula pada jam 8.30 pagi. Selepas sesi 'merarau' perbincangan disambung semula dengan sesi Mesyuarat Kurikulum Kali Pertama 2010 pula. Antara agenda utama kedua-dua mesyuarat tersebut adalah penetapan jawatan kuasa, pengurusan kurikulum, penetapan guru-guru kelas dan mata pelajaran. Mesyuarat turut membincangkan beberapa dasar kurikulum, program peningkatan kurikulum, keputusan-keputusan peperiksaan lalu dan UPSR 2009. Mesyuarat kali pertama ini menyaksikan dua wajah baru yang bakal menjadi warga SKTM iaitu Puan Pearinbanayaki a/p Sivalingam ( BI ) dan Cik Nur Syazana bt. Mohd.Kamaruddin ( PAI ). Semoga 2010 akan membuka era baru ke arah Menjadikan Warga SKTM Berilmu dan Gemilang Menjelang Tahun 2015. Tahniah warga SKTM...

Friday, December 25, 2009

Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA)

Kerajaan telah menetapkan sasaran untuk mewujudkan 100 sekolah prestasi tinggi menjelang 2012 sebagai sebahagian daripada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk pendidikan.

Ketua Makmal NKRA untuk Pendidikan Datuk Noor Rezan Bapoo Hashim berkata Kementerian Pelajaran percaya mereka boleh mencapai jumlah yang disasar itu memandangkan kini, terdapat sekolah kluster yang turut menumpukan kepada standard kecemerlangan pembelajaran dan pengajaran.

"Kerajaan telah mensasarkan 20 sekolah untuk diiktiraf sebagai sekolah prestasi tinggi tahun depan," katanya kepada pemberita selepas membentangkan Makmal NKRA Pendidikan bertajuk "Pendidikan Berkualiti dan Mampu Dimiliki Oleh Semua Rakyat Malaysia" pada Hari Terbuka Program Transformasi Kerajaan (GTP) di Pusat Konvensyen Sunway di sini Khamis....seterusnya

SUMBER : Bernama

Wednesday, December 23, 2009

Tingkatkan Aktiviti Kokurikulum

Kementerian Pelajaran akan melakukan transformasi bagi memastikan kegiatan kokurikulum di setiap sekolah kembali dititikberatkan. Timbalan Menterinya, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, ia bagi mengelakkan para pelajar menjadi terlalu obses dan tertumpu kepada peperiksaan semata-mata. “Sehubungan itu, kerajaan akan merombak semula sistem yang ada dengan melakukan penilaian berasaskan sekolah. “Jika dilaksanakan kelak, ia sekali gus menjadikan kegiatan kokurikulum di sekolah sama penting dengan peperiksaan,” katanya. Beliau berucap merasmikan Perkhemahan Nasional Kadet Remaja Sekolah-Pusat Pendidikan Sri-SMI Bhd. (KRS-Musleh) 2009 di Taman Rekreasi Ulu Yam, di sini hari ini.

Menurut Mohd. Puad, kegiatan kokurikulum di peringkat sekolah mampu membina dan menyediakan modal insan yang lebih berkualiti pada masa depan. “Program kokurikulum amat penting bagi membangunkan potensi anak-anak, kita tidak mahu anak- anak ini terperangkap dengan minda yang terpenjara,” katanya.

Jelasnya, kerajaan memperuntukkan RM3.6 bilion untuk 18 jenis bantuan dan RM300 juta setahun bagi dimanfaatkan sekolah-sekolah untuk kegiatan kokurikulum. “Kita sedia membantu sekolah-sekolah swasta seperti Musleh dan berharap sekolah ini mampu memberi maklum balas yang positif kepada kerajaan,” katanya.


Sumber : Utusan Malaysia Online

KADAR BAYARAN YURAN TAMBAHAN 2010 DISELARAS

KUALA LUMPUR: Bayaran untuk sesi persekolahan baru yang akan bermula pada 3 dan 4 Januari depan ditetapkan RM24.50 bagi setiap murid sekolah rendah dan RM33.50 murid sekolah menengah di seluruh negara. Ketua Pengarah Pelajaran, Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, berkata kadar bayaran tambahan itu diseragamkan untuk semua pelajar sekolah rendah dan menengah mulai tahun depan, berbanding pakej pembayaran A, B dan C yang berdasarkan jenis pekerjaan ibu bapa sebelum ini. Pecahan bayaran bagi sekolah rendah ialah RM3 untuk kokurikulum, kertas ujian dalaman (RM6), sukan tahunan sekolah (RM6), kegiatan Pendidikan Islam untuk murid beragama Islam atau Pendidikan Moral untuk bukan beragama Islam (RM6), Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia (RM2) dan Insurans Takaful (RM1.50). Bagi sekolah menengah pula, bayaran kokurikulum RM6, kertas ujian dalaman (RM10), sukan tahunan sekolah (RM6), kegiatan Pendidikan Islam atau Pendidikan Moral (RM6), MSSM (RM4) dan Insurans Takaful (RM1.50). “Secara keseluruhan, kadar bayaran tambahan untuk persekolahan tahun depan lebih rendah berbanding tahun ini. Bayaran tambahan ini pada kadar minimum supaya tidak bebankan ibu bapa. “Ia adalah untuk pelaksanaan aktiviti pembangunan pelajar dan dikutip pada awal sesi persekolahan dibuka nanti,” katanya ketika dihubungi semalam.

Bagaimanapun, Alimuddin berkata, sebarang bayaran tambahan lain bergantung kepada persetujuan pihak sekolah serta persatuan ibu bapa dan guru (PIBG) berdasarkan keperluan aktiviti murid di sekolah masing-masing dengan mengambil kira latar belakang ekonomi ibu bapa mereka. “Apabila kadarnya dipersetujui bersama pihak sekolah dan PIBG, ia perlu dimaklumkan kepada Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri masing-masing,” katanya. Bagaimanapun, pihak sekolah hanya dibenarkan mengutip sumbangan PIBG berdasarkan satu keluarga satu bayaran tanpa mengambil kira bilangan anak di sekolah yang sama.

Sebelum ini, Kementerian Pelajaran memperkenalkan tiga pakej bayaran tambahan iaitu Pakej A RM38.50, B (RM30.50) dan C (RM23.50) untuk sekolah rendah, sekolah menengah Pakej A (RM55.50), B (RM44.50) dan C (RM33.50). Pakej A bagi ibu bapa yang bekerja dalam bidang profesional seperti usahawan dan pegawai tinggi kerajaan, Pakej B untuk pegawai kerajaan kumpulan sokongan dan profesional serta Pakej C untuk petani, peladang, kakitangan kerajaan dan pekerja bawahan. Sementara itu, Presiden Majlis Permuafakatan PIBG Nasional (PIBGN), Prof Madya Datuk Dr Mohamad Ali Hassan, berkata pihaknya dihubungi ramai ibu bapa yang menyuarakan kegelisahan kerana belum mendapat maklumat berhubung bayaran tambahan yang akan dikenakan pada sesi persekolahan tahun depan.

Sumber : Berita Harian Online

Tuesday, December 22, 2009

ASRAMA PENUH KPM 2010

SK TELUK MEDAN 22 Disember,
Seramai 9 orang daripada calon-calon UPSR 2009 telah terpilih untuk melanjutkan pelajaran ke tingkatan 1 / 2010 di beberapa sekolah berasrama penuh Kementerian Pelajaran Malaysia. Antara sekolah-sekolah yang menawarkan tempat bagi pelajar-pelajar tersebut ialah Sekolah Seri Puteri Putrajaya, SM Sains Tun Syed Sheh Shahabuddin Bukit Mertajam, SM Sains Kepala Batas, SBPI Gopeng, Perak dan SM Sains Raja Tun Azlan Shah. Namun demikian masih ramai lagi yang akan mengisi sekolah-sekolah asrama kerajaan negeri seperti SMKA dan Aliran Khas yang keputusannya kan diketahui sedikit masa lagi. Tahniah diucapkan kepada murid yang terpilih ke sekolah asrama. Selamat maju jaya dan jangan lupa dari mana kejayaan anda bermula...

DIARI DISEMBER 2009

ISNIN 28.12.2009
1. Mesyuarat Guru Kali Pertama 2010.
2. Mesyuarat Kurikulum Kali Pertama 2010
SELASA 29.12.2009
1. Mesyuarat Hal Ehwal Murid Kali Pertama 2010
2. Mesyuarat Kokurikulum Kali Pertama 2010
RABU 30.12.2009
1. Pendaftaran Tahun 1 / 2010
2. Perjumpaan Ibu-bapa Tahun 1 / 2010

Kehadiran semua guru-guru dan kakitangan tanpa gagal.

Thursday, December 10, 2009

Malaysia taja biasiswa, latih guru selatan Thai


NARATHIWAT 9 Dis. – Malaysia memulakan langkah pertama yang dianggap signifikan dalam membantu penduduk Islam di selatan Thailand apabila mengumumkan penajaan biasiswa dan latihan kepada guru serta pelajar di wilayah berkenaan.

Buat permulaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan kesediaan menerima lima guru dari Institut Islam Attakiah, di sini untuk menjalani latihan pembelajaran bahasa Inggeris di institut perguruan di Malaysia.

“Kementerian Pelajaran akan menerima lima guru dari sekolah itu setiap tahun bagi menjalani latihan berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika bersama-sama Perdana Menteri Thailand, Abhisit Vejjajiva melakukan lawatan bersama ke institut berkenaan hari ini.

Lawatan yang dianggap bersejarah itu merupakan salah satu acara dalam rangka lawatan tiga hari Perdana Menteri ke Thailand bermula kelmarin.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Kerja Raya, Datuk Saziman Mansor.

Mengenai penajaan biasiswa pula kata Najib, tiga pelajar lulusan sekolah itu akan menikmati kemudahan berkenaan setiap tahun bagi membolehkan mereka melanjutkan pelajaran di Universiti Teknologi Petronas.

“Mereka akan menerima penajaan biasiswa oleh Kerajaan Malaysia melalui Petronas,” katanya.

Dalam ucapan itu juga, Najib berkata, perkembangan pesat yang dilalui oleh Institut Islam Attakiah telah menjadi bukti bahawa pembelajaran dan pengajaran islam adalah satu perkara yang digalakkan oleh kerajaan Thailand.

“Saya amat yakin dan percaya pembelajaran dan pengajaran Islam di sekolah ini dan di selatan Thailand dapat terus dibangunkan berlandaskan kepada dasar yang telah dimaklumkan oleh Perdana Menteri Thailand dalam perbincangan dengan saya,” katanya.

Atas semangat itu juga kata Perdana Menteri, berikutan permintaan Abhisit, Kerajaan Malaysia akan menimbang untuk membantu sekolah-sekolah agama di selatan Thailand bagi membolehkan ia terus berkembang dari semasa ke semasa.

Mengenai Institut Islam Attakiah, Najib berkata, beliau berbangga kerana sekolah itu yang mempunyai 4,500 pelajar merupakan sekolah agama tersohor di Thailand. – UTUSAN

KAMUS ONLINE

MUAT TURUN MODUL PEMBELAJARAN KSSR

KOKURIKULUM

SEMAK TUNTUTAN

SEMAK DAFTAR PEMILIH

spr

PENDIDIKAN

WEBKCIL ICTL PANTAU Photobucket NAZIR BTP KIOSK LPM JPA

ONLINE BANKING

clicks m2u RAKYAT
Photobucket EXAM Photobucket

" Sesungguhnya Yang Halal dan Yang Haram Itu Nyata "

AMARAN

Hak Cipta Terpelihara © Ogos 2008. Admin SK Teluk Medan, 34300 Bagan Serai, Perak, Malaysia.

PENAFIAN:Admin tidak akan bertanggungjawab terhadap sebarang kehilangan atau kerosakan yang dialami kerana menggunakan maklumat dalam blog ini.

Back to TOP