
Terlebih dahulu marilah kita memanjat kesyukuran kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan keizinan dan limpah kurnia-Nya kita diberi kesempatan untuk melancarkan sebuah blog mini SK Teluk Medan, Bagan Serai. Di kesempatan ini saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua guru-guru yang berusaha mewujudkan sebuah tapak blog sebagai informasi kepada seluruh warga SKTM dan pengunjung luar. Peluasan penggunaan dan kemajuan yang telah dicapai setakat ini dalam bidang ICT di Malaysia adalah sesuatu yang boleh dibanggakan. Langkah Kerajaan melaksanakan pelbagai projek dan program ICT dalam pendidikan seperti Projek Makmal Komputer, Program Sekolah Bestari, Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris, dan Projek SchoolNet telah berjaya menggerakkan minat warga pendidik melibatkan diri dalam ICT. Kini saya percaya ICT bukan lagi menjadi sesuatu perkara yang asing bagi warga pendidik mahupun murid di sekolah. Apa yang perlu diberi perhatian adalah aspek membudayakan ICT sebagai budaya kerja guru. Pembudayaan ICT memerlukan masa. Trenda masa sekarang yang antara lain melibatkan peluasan penggunaan teknologi wayarles sama ada melalui telefon bimbit mahupun komputer riba telah menyemarakkan minat dalam menggunakan ICT dalam kalangan warga pendidik dan masyarakat amnya. Ini merupakan suatu perkembangan baru yang wajar kita eksploitasikan untuk faedah pendidikan. Akhirnya saya berharap agar blog ini akan digunakan sebaik mungkin sebagai sumber informasi bagi meningkatkan pengajaran dan pembelajaran.
Shoyef bin Tukiman
GURU BESAR SKTM
Blog sungguh berinformasi, tahniah kepada cikgu penyelaras bestari dan guru-guru
ReplyDelete